Saturday, December 8, 2012
Apa dia Israiiliyat ?
Pengertian Israiiliyat.
Israiiliyat adalah suatu istilah yang dilabelkan oleh orang-orang Islam terhadap sebarang perkhabaran,pandangan dan cerita-cerita tidak benar yang dikaitkan dengan bangsa Isra,el iaitu orang-orang Yahudi.
Dari sudut bahasa israiliyyat ( kalimah jama’) diambil dari perkataan israiliyat iaitu kisah atau cerita yang diriwayatkan dari bangsa israil. Maksud israil ialah panggilan bagi Nabi Yaakub a.s dan bani israil ialah anak-anak serta keturunan baginda sehingga zaman Nabi Muhammad s.a.w.
Menurut Allahyarham Dr.Muhammad Husain Az- Zahabi di dalam risalahnya yang bertajuk ‘Israiiliyat di dalam tafsir dan hadith tentang pengertian istilah ini :”Perkataan Israiiliyat bermaksud kisah atau peristiwa yang diceritakan melalui sumber Israel.Ianya mencakupi lebih daripada hanya kisah-kisah Yahudi”.
Firman Allah dalam Surah Maryam ayat 58;
“Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi Yang telah dikurniakan Allah nikmat Yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang Yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang Yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.”
Dari sudut Istilah pula Dari sudut istilah israiliyyat ialah berita-berita dan cerita yang dibawa oleh bani israil atau kaum Yahudi. Ia merupakan cerita umat yang lalu bersumberkan golongan yahudi merangkumi pengaruh Yahudi dan Kristian di dalam penulisan tafsir
Ini menunjukkan bahawa setiap unsur Israiiliyat acapkali telah meresap masuk ke dalam kitab-kitab tafsir dan hadith yang kebanyakkannya daripada unsure-unsur tersebut ialah kisah dongeng lama yang disandarkan pada riwayat asalnya kepada sumber Yahudi atau kristian dan yang selain daripada mereka.
Secara umumnya Israiiliyat ini ditujukan kepada golonngan Yahudi berbanding dengan kristian kerana mereka lebih terkenal dalam meriwayatkan cerita-cerita terdahulu kerana bilangan yang ramai di zaman rasulullah s.a.w berbanding dengan golongan kristian.Hubungan mereka juga rapat dengan kaum muslimin pada awal kemunculan Islam sehingga berkembangnya agama Islam.
Bahkan segelintir golongan mufassirin dan muhaddithiin menganggap bahawa cerita-cerita Israiiliyat ini ialah apa perkara yang ditujukan oleh musuh-musuh Islam saamada dari orang Yahudi dan lain-lainnya terhadap kesucian tafsir al-Quran dan hadith,daripada cerita-cerita yang tidak tahu asal usulnya.
Ulama tafsir hadis menjelaskan maksud Israiiliyat ini ialah semua jennies rekaan yang bersumberkan Yahudi,riwayat perkara khurafat dan dongengan semata.Mereka sangat memusuhi Islam serta membeci ajaran Islam serta seluruh kaum muslimin.Ini dijelaskan dalam surah al-maidah ayat 82 :
82. "Demi Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) akan dapati manusia Yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang Yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. "
Golongan Yahudi ialah golongan ahli kitab yang paling rapat kaitannya dengan orang-orang Islam.Pengetahuan mereka amat luas dalam memberikan gambaran salah terhadap Islam dan merupakan tipu daya.Mereka antara yang paling ramai berpura-pura memperjuangkan kelluarga Nabi Muhammad s.a.w semata-mata untuk memperluaskan tipu daya dan menyebarkan kerosakkan di kalangan umat Islam serta merosakkan aqidah.Golongan Yahudi mempunyai peluang yang besar hasil dari perpecahan yang tidak terbendung untuk menyebarkan cerita-cerita Israiiliyat.
Pembahagian Israiiliyat
1. Riwayat /berita yang diakui benar oleh al-Quran dan hadis yang Sahih.
Seperti contoh kisah Khidir dengan Nabi Musa yang diceritakan dalam surah Al Kahfi ayat 65 :
Firman Allah SWT
“Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami Yang telah Kami kurniakan kepadanya rahmat dari kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi kami.”
Al-Quran tidak menyebut dengan jelas tetapi menyatakan hamba dari kalangan hamba kami.Serta dikukuhkan lagi dengan firman Allah dalam surah Yunus ayat 94 :
“Oleh sebab itu, sekiranya Engkau (Wahai Muhammad) merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turukan kepadaMu, maka Bertanyalah kepada orang-orang yang membaca Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu (kerana mereka mengetahui kebenarannya). Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali Engkau menjadi dari golongan Yang ragu-ragu.”
Riwayat Bukhari daripada Ibnu Mas’ud juga menyatakan mengenai Israiiliyat yang dikatakan berita yang disahkan oleh Islam dan disahkan benar seperti :
عن ابن مسعود رضي الله عنه قال : جاء حبر من الأحبار إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال : يا محمد ، إنا نجد أن الله يجعل السماوات على إصبع ، وسائر الخلائق على إصبع فيقول : أنا الملك ، فضحك النبي صلى الله عليه وسلم حتى بدت نواجذه تصديقا لقول الحبر ، ثم قرأ رسول الله صلى الله عليه وسلم :وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ وَالْأَرْضُ جَمِيعاً قَبْضَتُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَالسَّمَاوَات مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِينِهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ
Maksud : “Telah datang seorang pendita Yahudi kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata:
“Wahai Muhammad, sesungguhnya kami dapati (dalam kitab kami) bahawa Allah meletakkan tujuh petala langit atas satu jari, tujuh petala bumi atas satu jari, segala pokok atas satu jari, air dan tanah atas satu jari dan seluruh makhluk atas satu jari lalu berkata, “Akulah raja.”
Mendengar itu, Nabi tergelak sehingga ternampak gusinya, membenarkan kata-kata pendita itu. Kemudian Baginda membaca (ayat 67 surah al-Zumar 39 yang bermaksud):
“Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya padahal bumi seluruhnya dalam genggamanNya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kananNya. Maha suci Tuhan dan maha tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan.” (H/R Bukhari)
2. Riwayat /berita yang disahkan dusta kerana bertentangan dengan aqidah dan ajaran Islam.
Riwayat ini bertentangan dengan akal yang waras dan syariat. Ini akan ditolak sama sekali.Contohnya seperti “sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu.Batu tersebut diatas tanduk seekor lembu jantan.Apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya,lalu batu tersebut pun bergerak dan bergeraklah bumi ini.Itulah terjadinya gempa bumi.”(perkhabaran,berita ini disahkan palsu oleh Ibnu Qayyim dalam al-manar al-munif),selain daripada itu juga terdapat kepalsuan seperti mencemar maruah kenabian dalam kisah Nabi Yusuf a.s apabila menyebut bahawa baginda yang berkeinginan kepada isteri pembesar al Aziz, kisah Nabi Daud yang dan sebagainya yang mengaitkan dengan dosa syirik,zina dan sebagainya.
3. Riwayat/berita yang tidak terdapat dalam syariat dan al-Quran dari sudut penolakan dan penerimaan.
Berita ini tidak diiktiraf dalam ajaran Islam kerana tidak mempunyai dalil khusus yang menyokongnya dan tidak ada pula dalil yang menyanggahnya dari segi nas ataupun akal.bagi riwayat ketiga ini tidak boleh menyatakan ianya betul atau salah.
Selagi ia tidak mencemarkan agama kita boleh meriwayatkannya,namun kita tidak boleh menyatakan secara putus kebenarannya.Dari Abu Hurairah :
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : كان أهل الكتاب يقرؤون التوراة بالعبرانية ، ويفسرونها بالعربية لأهل الإسلام ، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لا تصدقوا أهل الكتاب ولا تكذبوهم ، وقولوا: ( آمَنَّا بِالَّذِي أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَأُنْزِلَ إِلَيْكُمْ)(العنكبوت: من الآية 46)
Maksud : “Dahulu Ahli Kitab membaca al-Taurat dalam bahasa Ibraniyah dan mentafsirkannya dalam bahasa Arab untuk orang Islam. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan percaya Ahli Kitab dan jangan dustakan mereka. Katakanlah “Kami telah beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada kamu.” (al-Ankabut 29:46). (H/R Bukhari)
Kebanyakan kisah Israiliyat tidak mempunyai manfaat kepada agama dan contoh kisah-kisah tersebut ialah warna anjing ashabul kahfi, bilangan mereka, tongkat nabi musa diperbuat daripada kayu apa ?, Nama burung yang dihidupkan Allah untuk Nabi Ibrahim, Jenis pohon yang digunakan oleh Allah untuk berkata dengan Nabi Musa dan banyak lagi masalah-masalah lain yang tidak disebutkan secara jelas dalam al-Quran kerana tidak ada faedahnya dalam urusan agama dan duniawiyah seorang mukallaf. (Muqaddimah Tafsir Quranil azim, Imam Ibnu Katsir).
Ringkasnya Isrilliyyat adalah cerita-cerita daripada sumber-sumber bukan Islam yang meresap ke dalam masyarakat Islam. Umumnya ia dikaitkan dengan kaum Yahudi. Israilliyyat terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
1. yang bersesuaian dengan Islam
2. yang bertentangan dengan Islam
3. yang tidak dapat dipastikan sama ada sesuai ataupun tidak
Jenis pertama kita menerimanya dengan senang hati. Jenis kedua kita tolak bersungguh-sungguh. Jenis ketiga tidak kita tolak dan tidak juga kita terima. Kita membiarkannya begitu sahaja sehinggalah ada bukti-bukti menunjukkan sama ada ia boleh diterima ataupun ditolak.
Hukum meriwayatkan (menceritakan) Kisah Israiiliyat
Hukumnya terbahagi kepada tiga iaitu :
1 Haram
Nas yang tersebut didalam al-Quran iaitu ayat-ayat yang menunjukkan bahawa golongan Yahudi dan Nasrani menukar dan mengubah kitab-kitab mereka dan menyembunyikannya,tidak menyatakan sebahagian besar daripadanya yang boleh menghilangkan kepercayaan terhadap mereka dan khabar yang mereka bawa. Ini tidak boleh dipercayai dan tidak boleh diriwayatkan. Di antara firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 79:
79. Kecelakaan besar bagi orang-orang Yang menulis Kitab Taurat Dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah Dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: "Ini ialah dari sisi Allah", supaya mereka Dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia Yang sedikit. maka Kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa Yang ditulis oleh tangan mereka, dan Kecelakaan besar bagi mereka dari apa Yang mereka usahakan itu.
Bersandarkan dalil yang jelas ini,mereka melarang langsung dari mengambil periwayatan ini.Di samping meneliti method Islam di dalam perbahasan,ilmu pengetahuan yang diterima serta mengemukan hadith dan pendapat yang mungkin ada pengharusan pelarangan dalam meriwayatkannya.
2. Harus
Ayat yang tersebut di dalam al Quran yang menunjukkan harus merujuk kepada ahli kitab dan bertanya mereka tentang apa yang berkaitan dengan mereka. Antara firman Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w dalam Surah Yunus ayat 94 :
94. Oleh sebab itu, sekiranya Engkau (Wahai Muhammad) merasa ragu-ragu tentang apa Yang Kami turukan kepadaMu, maka Bertanyalah kepada orang-orang Yang membaca Kitab-kitab Yang diturunkan dahulu daripadamu (kerana mereka mengetahui kebenarannya). Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali Engkau menjadi dari golongan Yang ragu-ragu.
Allah SWT telah mengharuskan nabi-Nya agar bertanya kepada ahli kitab demikian juga diharuskan bagi umatnya bertanya kepada mereka,kerana telah diakui oleh syara’ iaitu perintah Allah SWT terhadap nabi-Nya adalah perintah untuknya dan umatnya selama mana tidak ada dalil yang mengharuskannya. Juga dalil daripada hadith yang mengharuskannya di antara hadith yang telah diriwayatkan oleh al Bukhari di dalam kitab sahihnya:-
بلغوا عني ولو أية وحدثوا عن بني إسرائيل ولا حرج ومن كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعدة من النار
Ertinya : “Sampaikan dariku walaupun satu ayat, dan riwayatkan lah daripada Bani Israil, tiada salahnya. Sesiapa berdusta terhadapku dengan sengaja,siapkanlah tempatnya dalam neraka”.
3 Mauquf/ maskut Anhu
Riwayat yang tidak perlu diulas kerana tiada dalil dari sudut penolakan dan penerimaan.Sebilangan mereka ada meletakkan syarat-syarat untuk periwayatannya di mana mereka menolak sebahagian besar dan tidak mengambil melainkan pa yang tidak diperkatakan apa-apa oleh Islam serta tidak bercanggah dengan nas-nas (al-Quran dan as-sunnah) dan ketetapannya seperti yang dilakukan oleh Imam ahli hadith,Ibnu Khathir di dalam kitabnya al-bidayah Wa an-Nihayah dan Tafsir Al-Quranul adzim.
Kesimpulan hukum menceritakan atau meriwayatkan kisah-kisah Israiiliyat ini adalah bergantung kepada keadaan,dimana jenis yang pertama haram disebarkan kepada umum tanpa penjelasan serta bukti yang sahih,yang kedua digallakkan kerana ia menambahkan ilmu kepada umat Islam agar mendalami Islam lagi dan yang ketiga boleh dikisahkan dengan syarat disertakan penjelasan tentang kedudukannya.
Kandungan Cerita-cerita Israiiliyat
Israiiliyat adalah ungkapan khusus bagi setiap perkhabaran dan cerita –cerita yang tidak benar yang terdiri daripada kisah-kisah khurafat,dongengan semata.
Secara umumnya kandungan Israiiliyat ini terbahagi kepada dua iaitu Israiiliyat kuno dan Israiiliyat moden.
1. Israiiliyat kuno
Israiiliyat kumo merupakan cerita-cerita yang berkaitan dengan kisah dahulukala seperti perkhabaran dan ilmu pengetahuan yang diambil oleh orang-orang berbangsa Yahudi mengennai asal usul alam,kejadian mahkluk dan peristiwa umat terdahulu dan perkara-perkara syubhat yang ditimbulkan oleh golongan yang berkepentingan untuk menyerang kesucian Islam dengan cerita-cerita dongeng dan pembohongan dalam sejarah Islam terdahulu.Sepperti dalam surah al-Baqarah ayat 75 ,menyatakan tentang pengakuan orang Yahudi lebih alim dari orang lain :
75. (Sesudah kamu - Wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu - mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan Bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam Yang kamu sampaikan itu, padahal Sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka Yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?
2. Israiiliyat moden
Israiiliyat moden ialah setiap pemikiran atau perkataan atau ucapan atau penulisan yang ditujukan ( untuk memburuk-burukkan) umat Islam dan bertentangan dengan segala prinsip-prinsip Islam dan ajaran-ajarannya.Kesemua bentuk Israiiliyat moden ini telah ditujukan kepada kehiduupan berpolitik,ekonomi,social,etika,kebudayaan,perhubungan antarabangsa atau peperangan.
Sasarannya adalah untuk mencemarkan kesucian agama Islam yang merupakan perkara haq dan benar serta apa sahaja yang berasaskan kepada petunjuk dan Nur Ilahi dalam setiap sudut dan aspek kehidupan manusia.( umat manusia).
Hikmah mengetahui Israiiliyat
Mengetahui tentang israiliyyat memberikan kesan yang mendalam kepada orang-orang Islam untuk menjaga aqidah. Selain itu, dapat memahami hadith dengan lebih mendalam dan mengikut sanad yang tepat bukan yang telah dikaburi oleh golongan Yahudi yang cuba untuk memecahbelahkan umat Islam.
Memahami tentang israiliyyat akan meninggalkan beberapa kesan kepada aqidah umat Islam. Antaranya ialah :-
1. Dapat menjaga aqidah daripada dirosakkan dengan cerita-cerita mengenai sifat Allah s.w.t yang menyerupai manusia serta menyifatkan Allah s.w.t dengan sesuatu yang tidak layak bagiNya. Serta cerita yang tidak baik berkenaan dengan para nabi dan rasul.Umpamanya kalau diperhatikan cerita-cerita nabi kebanyakannya diceritakan secara umum tanpa nas dan dalil yang sahih contohnya . Contohnya kisah Nabi Ayub yang ditimpa sakit. Memang Nabi ayub diceritakan dalam al-Quran bahawa dia diuji oleh Allah dengan penyakit (Lihat surah sod ayat 41) tetapi perincian Baginda alaihi salam sakit apa tidak pula diceritakan dengan lanjut. Sesetengah buku “murahan” memperincikan lagi bahawa Nabi ayub ditimpa sakit sehingga badan beliau berulat. Tafsiran yang melampau-lampau pula mengatakan bahawa daging beliau berguguran sehingga tingall tulang sahaja. Menurut para ulama kisah ini adalah kisah Israiliyyat yang cuba merendah-rendahkan martabat para Nabi yang diutus oleh Allah.
2. Mengelakkan umat Islam mempercayai cerita-cerita tentang dongengan yang penuh dengan khurafat dan pembohongan yang tidak ada sumbernya.Sebagaimana periwayatan yang disahkan palsu oleh Ibnul Qayyum dalam kitab al-manar al-munif iaitu “sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu.Batu tersebut diatas tanduk seekor lembu jantan.Apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya,lalu batu tersebut pun bergerak dan bergeraklah bumi ini.Itulah terjadinya gempa bumi.”(perkhabaran,berita ini disahkan palsu oleh Ibnu Qayyim dalam al-manar.
3. Mengelakkan umat Islam hilang kepercayaan kepada ulama’ salaf sama ada daripada kalangan sahabat atau tabiin. Terlalu banyak kisah israiliyyat yang disandarkan kepada mereka sehingga mereka dianggap sebagai penipu kepada agama Islam.
4. Mengelakkan manusia daripada maksud dan tujuan al-Quran yang sebenar . ianya juga melalaikan umat Islam dari meneliti serta memahami maksud ayat-ayat al-Quran serta lalai mengambil manafaat daripadanya.
Jelas kepada kita cerita-cerita israiliyyat banyak memberikan kesan yang negatif terhadap umat Islam. Kaum Yahudi sentiasa berazam dan tidak pernah jemu untuk merosakkan aqidah umat Islam. Allah s.aw. telah menegaskan di dalam al-Quran dalam surah al Baqarah ayat 120 :
120. Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk Yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
Sesungguhnya jalan atau penyelesaian dalam menghadapi segala dakyah israiiliyat ini adalah menghapuskan punca-punca yang menyebabkan penyebarannya.Apa yang penting ialah umat Islam selaku golongan pendakwah kepada jalan Allah hendaklah berusaha mencegah penyebaran Israiiliyat ini dari merebak seterusnya menyangkal dan memerangi dengan memperingatkan kepada umat Islam yang lain agar berhati-hati dan menyucikan umat yang telah terpengaruh dengan dakyah Israiiliyat ini.Mendalami al-Quran dan berpegang teguh dengan al-kitab dan al-sunnah akan membawa kepada kehidupan yang lebih sempurna dan sejahtera dunia akhirat.
Rujukan :
1. Dr.Solah Abd.Fatah al-khalidi,(2001),Membongkar Tipu Daya Yahudi untuk melemahkan Masyarakat Islam,Jasmin Enterprise,Kuala Lumpur
2. Dr. Muhammad Husin Azzahabi (1996) ,Kisah Israiiliyat dalam tafsir dann Hadith,Jahabersa,Johor.
3. Rozali Adam (1985),Al-Quran di antara tafsir dan Israiiliyat ,Dewan Bahasa dan Pustaka,Kuala Lumpur.
4. Dr.Azmil Hasyim,Dr.Abd.Rahman Ghani,modul HIQ3013 Ilmu-Ilmu AlQuran,PPL UPSI.
5. Iluvbadar.blogspot.com
6. Al-Quran dan Tafsir Rasm Uthmany
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment